Apabila saya menulis artikel Terima hakikat
kelemahan SJKT, saya mengikut naluri
berdasarkan kebenaran. Tujuan saya menulis artikel tersebut hanyalah satu. Demi
kemajuan anak bangsa saya.
Saya
mengimpikan satu impian anak Malaysia. Anak Malaysia ini sudah tentu akur
kepada Laporan Hussein Onn yang menekankan Bahasa Malaysia menjadi bahasa
pengantar utama sistem pendidikan negara dan bahasa Inggeris pula dijaga
kepentingannya sebagai bahasa antarabangsa.
Saya tidak berniat merendahkan atau mengganggu
perkembangan bahasa ibunda saya, iaitu Bahasa Tamil. Setiap tahun saya membantu
ibu bapa murid-murid saya untuk memastikan anak-anak mereka mendapat kemudahan
menghadiri kelas POL di sekolah menengah mereka. Setakat ini saya juga telah
berjaya memulakan kelas POL di beberapa SMK demi keperluan anak-anak murid saya
dari SJKT.
Rakan saya yang telah memasukkan anak beliau
dalam SJKT atas nasihat saya banyak merungut. Beliau seorang profesional dalam
bidang perubatan. Anaknya dalam tahap 1 dan beliau menghadapi banyak masalah
dalam membimbing anak beliau terutamanya dalam matapelajaran Matematik dan
Sains.
Buku-buku rujukan Matematik dan Sains sangat
kurang dalam bahasa Tamil. Beban
guru-guru bertambah membuat terjemahan buku SK ke Bahasa Tamil. Saya
berpendapat ini kerja membuang masa padahal buku-buku rujukan sudah sedia ada
dalam bahasa Malaysia. Kenapa kita tidak mahu menggunakan sumber-sumber yang
sedia ada dan sengaja menyusahkan diri?
Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa
Malaysia secara tidak langsung akan membantu mengukuhkan penguasaan bahasa
Malaysia. Ini akan menyelesaikan pelbagai jenis masalah yang timbul dalam
penguasaan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan murid SJKT.
Sudah beberapa kali beliau meminta pendapat
saya untuk mengeluarkan anaknya dari SJKT dan mendaftarnya di sekolah swasta
pula. Anak kedua dan ketiga rakan saya sudah pasti tidak akan dimasukkan ke
SJKT.
Saya bimbang SJKT akan kehilangan klien-klien
profesionalnya kerana masalah-masalah sebegini. Penurunan dalam enrolmen SJKT
pada masa kini berbanding zaman eteMS mungkin kerana wujudnya isu-isu sebegini.
Pada masa yang sama, saya berdepan dengan
anak-anak murid saya dari SJKT yang kini di SMK. Mereka kaku menangani
matapelajaran Sejarah, Matematik dan
Sains yang kelihatan begitu janggal buat mereka.
Transisi
mempelajari matapelajaran Bahasa Malaysia dari sekolah rendah ke sekolah
menengah sudahlah mencabar. Inikan pula mempelajari istilah sains yang telah
dipelajari dalam Bahasa Tamil dalam Bahasa Malaysia pula. Anak-anak saya cukup
tergugat dan patah semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
Sememangnya, masalah ini sedang berlaku untuk jangka waktu yang lama. Bukankah
kini masa yang sesuai untuk menyediakan suasana optima untuk anak-anak kita?
Pada ketika inilah artikel Uthaya menarik
perhatian saya. Apa salahnya sekiranya kita memperbaiki kelemahan-kelemahan
SJKT? SJKT menjadi yang terbaik dan cemerlang untuk anak bangsa? SJKT menjadi
tumpuan semua rakyat Malaysia?
Maklum balas yang saya terima daripada
rakan-rakan menjadi pembuka mata bahawa bukan semua berpendapat sama dengan
saya. Ada segolongan berpendapat kedudukan SJKT terancam kerana artikel saya
ini.
Pepatah alang-alang pekasam , biar sampai ke
pangkal lengan dan peringatan oleh John F Kennedy yang menyatakan tujuan
pendidikan adalah kemajuan pengetahuan dan penyebaran kebenaran,
terngiang-ngiang di telinga.
Bukankah ada pihak-pihak tertentu yang diberi
mandat untuk menjaga kebajikan sekolah Tamil? Adalah menjadi kewajipan
politikus kaum India untuk memastikan SJKT muncul terserlah dan kedudukannya
tidak tergugat.
Kebalkan SJKT di mana perlu. Pastikan
kebajikan guru besar dan guru-guru terpelihara walau apa perubahan dibawa masuk.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya memang amat teruja dengan kesabaran dan
dedikasi kakitangan-kakitangan di SJKT yang amat prihatin mendidik dan mengendalikan
murid-murid yang datang dengan pelbagai masalah dan cabaran.
Saya pun ingin kempen “SJKT Pilihan Kita”
berjaya cemerlang. Tetapi kenapa harus wujud situasi sehingga terpaksa
berkempen untuk menjadikan SJKT sebagai pilihan masyarakat? Bukankah sesebuah
institusi pendidikan pasti akan dipilih kerana kelebihannya dan sekiranya tidak
bukankah wajar meneliti kelemahan yang wujud? Haruslah kita membasmi kelemahan yang ada untuk
membina serta menjamin kedudukan yang kukuh.
Saya rela menerima pendapat serta bekerjasama
dengan mana-mana pihak yang mengambil berat dan sanggup membantu dalam
memastikan masa depan anak bangsa terjamin. Saya juga mahu anak-anak didikan
saya melangkah masuk ke alam sekolah menengah dengan penuh semangat dan
keyakinan.
Pada masa yang sama, saya tergamam melihat sesetengah
pihak yang tidak pernah menolong mahupun menyumbangkan walau setitik peluh untuk
kebangkitan anak bangsa kini melakukan serangan peribadi terhadap saya.
Saya masih berpegang pada kebenaran.
'Truth
will always prevail.'
No comments:
Post a Comment