Thursday, 24 March 2016

makalah politik tempat kerja



Dia berjalan dengan bunyi tik tak hasil daripada kasut tumitnya yang berwarna-warni.  Seorang rakan kerja berjalan sambil tersenyum lalu bertanya,
 "Dua incikah tumitnya?"
Dia terkeliru seketika,
 "Hah! Oh, kasut? Saya tak ukur pula!" Jawabnya lalu terus ke arah pejabat. 
Rakan yang tersenyum tadi terus berjalan ke kafe berdekatan. Ada rakan-rakan lain yang sedang duduk sambil minum.
 Tajuk perbualan mereka ialah rakan yang baru berjalan pergi.
“Umur sudah hampir 50 tahun tetapi memakai kasut tumit glamor.” 
“Pakaiannya pula kebaya kipas yang bukan longgar. Warna kainnya ceria. Rambut diwarna. Tidak kurang pula wangian yang disembur.” 
“Gaya ala pramugari yang datang bekerja di pejabat.”
Memang situasi sebegini kerap berlaku di banyak tempat kerja. Ada beberapa kakitangan yang menonjol dalam penampilan diri dan tatacara bekerja.  Ini mengungkitkan pelbagai kesan dan masalah.
Apa yang memeritkan keadaan ialah si dalang yang mengeruhkan situasi menjadi masalah yang besar sehingga mengganggu kerja-kerja diselesaikan dengan sempurna.
Apabila selesai bercerita, selalunya salah seorang  rakan akan membawa mulut kepada rakan bertumit tinggi tadi dan memberitahu sebagai sahabat misali beberapa perkara yang telah dibincangkan. Akan kelihatan seolah-olah nasihat yang diberikan itu amat penting.  Ia diberi kerana rakan ini sangat mengambil berat tentang sahabatnya.
Sebenarnya nasihat yang diberi berupa hasutan dan akan menimbulkan perasaan kurang puas hati di lubuk kecil rakan tersebut. Dia pula akan mula berfikir dan merisaukan diri dengan membuat spekulasi siapakah yang bercakap bukan-bukan tentang dirinya. Dia pula akan mula memandang serong ke arah rakan-rakan sekerjanya.
 Duit yang dibelanjakan untuk keperibadian dirinya hasil titik peluhnya sendiri. Kenapa pula mereka-mereka ini sibuk mengkritik dan berspekulasi?
Wujudlah ketidakselesaan apabila bergaul dengan mereka kerana hati asyik ragu-ragu dan sibuk meneka siapakah si kambing hitam yang telah menikam belakangnya.
            Lama-kelamaan, perasaan curiga akan meningkat dan menyebabkan rakan itu menjadi muram dan melatih diri untuk menjauhkan diri daripada sesiapa yang diraguinya. Ada juga rakan yang menjauhkan diri  kerana cemburu.
Timbul juga keadaan di mana rakan yang menonjol ini mempercayai sangat rakan pemberi maklumat. Lalu dia mencurah rasa curiga serta kesakitan hatinya mengenai rakan-rakan yang bergosip mengenainya.
Cerita ini pula akan berkitar dan menjadi satu racun yang akan merosakkan suasana kerja.
Apabila difikirkan sedalam-dalamnya, kakitangan yang menonjol ini akan membuat kesimpulan bahawa semua orang iri hati akan keperibadiannya yang menyerlah.
Tempat kerja haruslah dijadikan tempat yang memberi keseronokan dan ketenangan. Sekiranya tidak wujud keharmonian di tempat kerja, kemungkinan gangguan akan berlaku dalam menyempurnakan kerja.
Ia juga boleh menyebabkan kemurungan. Sementelahan, situasi yang semakin keruh boleh mencetuskan pergaduhan dan menjadikan suasana kerja yang amat tidak selesa.
Akhirnya yang menjadi mangsa ialah hasil kerja. Tidak juga dapat dinafikan bahawa seseorang kakitangan atau pekerja yang berkaliber menjadi kurang produktif kerana masalah sebegini.
Persoalan yang timbul, haruskah seseorang yang berkeperibadian tinggi mengurangkan penonjolan dirinya atau perlukah masyarakat di kelilingnya mengubah perangai.Perlukah pula seseorang yang diperlakukan sebegini mengamalkan sikap tidak endahkan situasi tersebut dan meneruskan kerja dengan profesional.

Gejala-gejala sebegini yang mengganggu alam kerja boleh dibendung dan diubah untuk menjadikan suasana yang lebih kondusif,  mesra dan selesa.
Ceramah motivasi  kerja boleh dijalankan  dari semasa ke semasa di mana kakitangan yang kurang pandai menceriakan diri didedahkan kepada cara penyerlahan peribadi.
 Bengkel gaya diri seperti sesi perawatan kaki dan tangan, rawatan muka, mendandan serta menghias rambut juga boleh diadakan sebagai aktiviti  untuk meninggikan keperibadian pekerja dan pada masa yang sama keyakinan diri terbina.  
Di samping itu, aktiviti-aktiviti rekreasi wajar dirancang dan dijalankan oleh pihak pengurusan untuk merapatkan jurang pergaulan antara kakitangan. Bah kata pepatah, ‘tak kenal, maka tak cinta’.
Dengan bergaul dan menjalankan pelbagai  aktiviti bersama, anggota syarikat akan dapat membina hubungan silaturahim yang membolehkan rakan-rakan sekerja menyedari bahawa mereka boleh dan perlu bergaul mesra dan bekerjasama bagai aur dengan tebing demi etika pekerjaan dan juga kepentingan organisasi.  
Mereka juga boleh mengetahui bahawa rakan yang menonjol itu sebenarnya bukan sombong ataupun angkuh. Banyak juga panduan gaya diri yang boleh dipelajari daripadanya.
Sememangnya, semua kakitangan boleh menjadi lebih sofistikated, bergaya dan membina keyakinan diri yang tinggi.
Segala langkah positif memperbaiki kekeruhan situasi di pejabat menjadi tanggungjawab setiap anggota agensi. Pentadbir berfungsi memberi idea dan tunjuk ajar untuk meruntuhkan tembok ego antara ahli pertubuhan. 
Setiap anggota syarikat perlu bertekad dan bekerjasama menjayakan segala aktiviti dan berusaha mengikis sikap serta perasaan negatif yang mengganggu kualiti kerja.
Dengan berjayanya aktiviti-aktiviti proaktif sebegini, suasana harmonis di tempat kerja dan produktivit maksimum bolehlah diharapkan.

No comments:

Post a Comment