En Sami menolak cermin matanya dari hujung hidung sambil meneliti kertas di hadapannya. Beliau menggaru dahi lalu berdeham dan mula bercakap.
"Amma, ada sesuatu yang buruk mungkin berlaku kepada suami awak. Keadaan sekarang menunjukkan kemungkinan dia mendapat serangan jantung sebelum hujung tahun hadapan."
Saya mengangguk-angguk kepala menunjukkan tanda faham.
"Apakah yang perlu saya lakukan, aiyah? Saya bertanya kepadanya.
Sekiranya saya menyampaikan maklumat ini kepada suami pasti dia akan mentertawakan saya kerana dia tidak percaya akan tilikan nujum.
Walau bagaimanapun saya sedar memang boleh berlaku sesuatu yang tidak diingini kerana suami saya seorang yang mengamalkan cara hidup hedonistik dan sedentari.
Juga wujud tabiat negatif seperti merokok, minum arak dan makan nasi goreng kambing dengan kopi ais. Kombo yang pasti boleh mengancam kesihatan jantung.
Kebetulan apabila saya pulang pada hari itu, suami sedang sakit kepala yang agak teruk. Cadangan saya agar pergi melawat doktor keluarga diterima.
Doktor mendapati tekanan darah tinggi mencapai angka 200. Surat rujukan diberi untuk membuat pemeriksaan lebih lanjut di Institut Jantung Negara (IJN). (Atas cadangan saya melalui telefon sebelum suami sampai ke klinik.)
Selepas beberapa minggu, saya meneruskan aktiviti seharian yang agak sibuk. Pada masa itu, keempat-empat anak sedang belajar. Saya sendiri mengajar 13 subjek di sebuah sekolah di Ampang pada sesi petang. Hidup saya cukup sibuk dan saya sudah lupa akan surat rujukan ataupun lawatan ke hospital oleh suami.
Di sekolah, kami tidak dibenarkan menggunakan telefon semasa pengajaran dan pembelajaran. Sedang saya mengajar Pendidikan Muzik di kelas 3B tiba-tiba kelihatan kerani di muka pintu.
"Cikgu, ada panggilan dari IJN. Mereka perlu tandatangan cikgu untuk urusan pembedahan." Kata kerani kepada saya.
Sayapun terus mengambil telefon lalu menelefon suami. Katanya, angiografi menunjukkan ada sekatan sebesar biji sawi dalam saluran darah utama dan perlu dilakukan endarterektomi untuk memasukkan tiub besi ke dalam saluran darah.
Sebenarnya saiz sekatan sangat kecil dan doktor sendiri tertanya-tanya bagaimana suami telah bercadang untuk melakukan rawatan tanpa simptom sakit jantung.
Tandatangan saya pula diperlukan kerana pihak IJN baru sedar bahawa sebagai suami kepada seorang kakitangan kerajaan dia layak mendapat rawatan percuma di IJN.
Selepas endarterektomi suami pulang ke rumah dan memulakan kehidupan baharu. Pertama kali dalam hidupnya dia bersenam dan cuba mempraktikkan gaya hidup.
Walaupun ilmu nujum ataupun astrologi dianggap ilmu pseudosains dan bercanggah dengan kaedah saintifik namun amaran yang diberi telah saya pergunakan secara berwaspada untuk mengambil jalan penyelesaian terbaik.