Monday, 8 October 2018

Kenangan lama from 1/10/14

Fikiranku melayang ke beberapa bulan yang lalu. Apakah betul segala yang telah aku lalui? 

Aku berhenti berehat. Aku duduk di kerusi sandar. Berehat.

Rupi sibuk membuat sesuatu sambil menjenguk ke luar rumah. 

Dari tempatku bersandar, aku cuba membaca apa yang tertera di dalam suratkhabar. Fikiranku kurang tenteram. Sakit belakangku menjadi-jadi. Semakin hari berlalu, semakin aku hilang sabar untuk bersalin. 

Tiba-tiba terdengar bunyi deruman motosikal. 

Si Rupi dengan sepantas kilat berlari ke arah meja makan. Disambarnya cawan perak berisi air dan terus memecut ke arah pintu pagar. Dia tercungap-cungap menunggu ayahnya turun dari motorsikal. Dia menghulurkan air sambil tersipu-sipu senyum. Si ayah terus meneguk air dan terus mengangkat Si Rupi. Dia didakap dan dilontar serta ditangkap. Si Rupi begitu gembira dan ketawa dengan kuat. 

Aku duduk dan memandang kerenah mereka dengan terpegun. Pandangan Si Dia pada Rupi begitu penuh dengan kasih sayang. Lantaran, pandangan sebegitu memang jarang sekali diberkati ke arahku. 

Mereka melangkah masuk. 

Aku mencelah. " hai,tolong cuci kaki sebelum masuk! Datang dari luar, terus mengangkat anak, tak elok! 

Tak aku sedari, leteran aku itu suatu gangguan suasana indah yang telah terbina antara Si Rupi dan ayahnya. 

Dengan cepat dia hendak menurunkan Si Rupi tetapi sikecil mencengkam kolar t'shirt sambil menggeleng kepalanya. 

Merekapun bersama-sama keluar lalu mencuci kaki. 

Si ayah berbaring di ruang tamu. Rupi turut barbaring sambil memeluk ayahnya. Celotehnya tidak berhenti-henti. 

Cukup indah dipandang. Rindu ingin dibelai menusuk jiwa. Kemungkinan besar ibu mertuaku akan jatuh pengsan sekiranya perkara sebegitu berlaku. 

                                                   ##################### 

Sakit belakangku mengejutkan aku kembali ke masa kini. 

Suasana sekeliling amat tidak menyenangkan. 

Bunyi tangisan mereka yang masuk silih berganti menjenguk jenazah mendiang tidak berhenti-henti. 

Bagi mereka itu sesuatu yang mesti. Tanggungjawab setiap pelawat yang perlu menangis sekuat hati untuk menunjukkan duka mereka amat menyakitkan hatiku. Tangisan kuat itu bagai menegaskan keadaan yang amat buruk yang menimpa diriku ini.

Hatiku meraung sekuat-kuat yang terdaya tetapi bunyi tangisan tidak melepasi bibirku. Apakah perkara sebegini harus berlaku padaku di saat dan ketika ini? Mustahil Tuhan yang Maha ESA, yang aku puja siang dan malam telah menghampakan aku sebegini!

Bilakah segala ini akan berakhir? 


                                                   ##################### 
Peristiwa tiga hari sebelumnya juga menusuk fikiranku. Si Dia pulang dalam keadaan kurang stabil. Setiap langkah diambil diikuti dengan bunyi menahan sakit. Pakaiannya basah. 

Aku mendapati dia sukar melucutkan pakaiannya. Akupun pergi untuk membantunya. Aku mendapati tangan dan kakinya berdarah. Rupa-rupanya, dia jatuh dan cedera ringan. 

Kemarahan aku memuncak. Aku menolongnya dan terus bergerak masuk ke bilik tidur. Sungguh kurang bertanggungjawab. Bilakah dia ini akan berubah? Langsung tidak memikirkan diriku yang sarat mengandung. Kerapkali pulang dalam keadaan menjengkelkan ini.

 Aku memaksa diriku untuk tidur. Aku tidak menghindarkan dia langsung. Makan atau tidak aku tidak peduli. Kemarahan aku umpama api gunung berapi. 

Kemanakah kemarahan itu telah membawaku kini? Rasa kesal memenuhi diriku. Aku mual mengenang ego diriku. Sesal dahulu pendapatan... 

                                                   ##################### 


Kenangan semalam menyerbu masuk ke mindaku. Si Dia bersedia untuk pergi ke kerja. Aku langsung tidak menghindarkannya.

 Keesokan harinya merupakan perayaan Diwali. Ego di dalam kepala umpama tempurung kelapa tua. Tidak ku ketahui pada ketika itu ego ini akan menjadi pengajaran paling besar bagi diriku. 

Si Ruby seperti biasa berdiri di pintu melambai-lambai sambil memberi pesanan kepada ayahnya supaya pulang awal. Masih terbayang pandangan terakhir Si dia yang melemparkan senyuman  ke arah Rupi. 


                                                   ##################### 


Pada petang hari yang sama, kami menunggu di rumah. Menanti bunyi deruman motosikal. Masa semakin pantas bergerak. Sudah pukul 8 malam. 

Si Rupi memberi cadangan supaya kami pergi mencari Si Dia. Daripada membuang masa di rumah aku pun bersetuju. Dalam keadaan sarat, perut yang besar menyentuh stering kereta, akupun keluar bersama Rupi dan Uma. 

Kami meronda mencari di kebanyakan tempat dia berlepak. Tiada nampak bayangnya pun. Selepas penat mencari aku mencadangkan agar kami pulang sahaja. 

Si Rupi begitu kecewa kerana tidak dapat berjumpa ayah kesayangannya. Uma selamba kerana sudah biasa melihat kerenah Si Bapa. Apabila kami sampai ke rumah, hari sudah lewat malam. Rasa lapar sudah hilang kerana penat dan kecewa. 

Ada beberapa buah kereta menunggu di luar rumah. Hatiku amat bergelora. Pasti berita kurang baik. Firasat memaklumkan naluri,  tragedi sudah menimpa, tetapi minda masih berdebat, 
menidakkan segala bisikan. 

Aku bertanya pada saudara menunggu, apakah yang telah terjadi. Tiada jawapan diberi. Akupun bergegas masuk menelefon adikku di kampung. 

Apa yang aku takuti telah terjadi. Si Dia kemalangan. Meninggal di dalam ambulans. Dalam perjalanan ke hospital. Malang!

 Aku menjadi sejuk dan senyap. Tiada ucapan selamat tinggal. Salahku juga. Egoku tidak membenarkan aku mengucapkan selamat jalan.

 Aku kehilangan peluang memberi ucapan selamat jalanku yang terakhir. Salah siapa? Salah dia dan salahku juga. 

                                                   ##################### 

 Hari ini hari Diwali menjadi hari terakhir kami menatap muka Si Dia. Aku meraung di dalam hati tetapi senyap di luar. Aku berasa marah, padanya, pada diriku.

 Aku ingin memegang kakinya dan meminta ampun kerana aku bersalah menunjukkan kemarahanku padanya. Aku bersalah kerana kurang sabar menahani kelemahan suami. 

Hari terakhir telahku baziri dengan ego dan kemarahanku. Tanpa diberi pelukan manja. 

Segala-galanya aku salahkan ego. Tetapi ego itupun diriku juga. Aku bersalah. 

Hari berlalu, segala upacara berjalan. Aku bersalin. Hidup kami berterusan. Tetapi, aku sudah berubah buat selama-lamanya. Hidupku juga berubah. 
                                                   ##################### 


Kereta yang dipandu terus ku letak di hadapan rumah. Belum sempat aku turun, Si Rupi terus berlari ke arah kereta. Dia menolong aku membawa barang-barangku masuk ke dalam

Aku terus melabuhkan punggung ke atas sofa di ruang tamu. Rupi pula membawa segelas teh untukku. Walaupun ada pembantu rumah, aku selalu dilayan oleh Rupi dengan sebaik-baiknya. 

Sudah hampir 20 tahun sejak tragedi  itu menimpa kami. Kami masih meneruskan hidup sebaik mungkin. Kehilangan besar dalam hidup kami telah menjadikan aku dan anak-anak lebih tabah dan sabar.

 Pengajaran terbesar bagi diriku? Ego dan ketidaksabaran diri amat tidak perlu dalam hidup. Perjalanan hidup ini amat singkat. Harus dipergunakan dengan sebaik-baiknya. 

                                                   ##################### 
                                                                      Tamat